Ayat bukan sahaja dapat dilihat dari
segi unsur yang mendirikan ayat tetapi juga dari segi susunan unsur-unsur
itu. Jika dilihat dari sudut ini, ayat
terbahagi kepada dua bentuk, iaitu susunan biasa dan susunan
songsang. Ayat susunan biasa
ialah ayat yang mendahulukan subjek dan mengemudiankan predikat. Ayat-ayat
dasar yang telah dibincangkan ialah ayat susunan biasa. Jika
susunan biasa itu diubah dan predikat didahulukan, maka ayat demikian dikatakan
ayat songsang. Pendepanan boleh
melibatkan bahagian-bahagian tertentu pada predikat, iaitu frasa kerja, frasa
adjektif, atau frasa sendi nama.
Perhatikan contoh-contoh di bawah.
Adik-adik saya mandi lagi di
sungai itu.
|
Mandi lagi adik-adik saya di
sungai itu (FK mandi lagi -didepankan).
|
Ahmad ke Langkawi dengan
keluarganya.
|
Ke Langkawi Ahmad dengan
keluarganya (FS ke Langkawi didepankan).
|
Nota Tambahan : Susunan Ayat
SUSUNAN ayat bermaksud kedudukan subjek dan predikat
dalam ayat. Setiap ayat terdiri daripada binaan subjek dan predikat. Susunan
ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua, iaitu susunan biasa dan susunan
songsang.
Susunan biasa ialah binaan ayat yang subjeknya
terletak di hadapan ayat, diikuti oleh predikat. Contohnya:
1. Aiman sedang membaca majalah.
Dalam ayat (i), subjeknya ialah Aiman, yang
kedudukannya di bahagian awal ayat. Sementara predikatnya ialah membaca majalah
yang hadir selepas subjek, yakni di bahagian belakang ayat. Inilah susunan ayat
yang dikatakan susunan biasa
Mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu, bahagian yang
di hadapan ayat itu yang dianggap lebih penting, lalu dijadikan sebagai judul.
Dalam hal ini, subjeklah yang lebih penting, iaitu Aiman. Bahagian lain dalam
ayat itu, iaitu predikat hanya memberikan keterangan kepada Aiman atau subjek
ayat.
Bentuk ini bertepatan dengan hukum D-M dalam bahasa Melayu. Apakah maksud hukum D-M ini? “D” bermaksud unsur yang diterangkan, manakala “M” pula bermaksud unsur yang menerangkan, yakni menerangkan unsur “D”. Maka susunan ayat dalam bahasa Melayu yang biasa mematuhi peraturan ini, iaitu peraturan subjek diikuti oleh predikat. Namun demikian, dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kadang-kadang kita menekankan bahagian predikat dan tidak bahagian subjek ayat. Oleh itu, bahagian predikat dibawa ke hadapan, manakala bahagian subjek dibawaka ke belakang, iaitu berada selepas predikat. Dengan mengambil ayat (1) sebagai contoh, maka predikat ayat sedang membaca majalah kita tukarkan susunannya. Maka lahirlah ayat berikut:
2. Sedang membaca majalah/ Aiman.
Susunan sedemikian, iaitu predikatnya mendahului
subjek, dikatakan susunan
songsang. Dari segi rumus tatabahasa, bentuk susunan
ayat yang begini masih gramatis. Tetapi kedudukan subjeknya telah berubah
daripada kedudukan yang biasa. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan
“songsang”, iaitu dilihat dari segi perubahan yang berlaku pada susunan
subjek-predikatnya. Pada hakikatnya,
tujuan penyongsangan ayat adalah untuk memberi tekanan kepada predikat, dan
tidak pada subjek. Dalam ayat songsang, predikat ayat dianggap lebih penting,
dan oleh itu menjadi bahagian yang diterangkan (D). Harus
diingat, dalam susunan ayat songsang, tidak semua unsur dalam predikat ayat
dikedepankan. Dengan kata-kata lain, penyongsangan boleh berlaku sama ada pada
seluruh predikat atau hanya pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dalam ayat
contoh (2), seluruh predikat telah dikedepankan, iaitu sedang membaca majalah.
Tetapi dalam susunan biasanya, ayat itu boleh dipanjangkan menjadi ayat (3)
berikut:
3. Aiman sedang membaca majalah di
biliknya.
Dalam ayat (3), terdapat maklumat tambahan, iaitu
unsur tempat (di biliknya).
Terdapat dua cara untuk menyongsangkan susunan ayat
ini. Satu cara adalah dengan mengedepankan seluruh predikat lalu menghasilkan
ayat (3a) seperti yang berikut:
3. (a) Sedang membaca majalah di biliknya Aiman
Dalam ayat ini seluruh maklumat dalam predikat
dianggap penting. Cara yang kedua adalah dengan menganggap hanya fakta sedang
membaca majalah sahaja yang penting, lalu membawa hanya bahagia tersebut ke
hadapan. Maka lahirlah ayat (3b):
3. (b) Sedang membaca majalah, Aiman, di biliknya.
Demikianlah susunan ayat dalam bahasa Melayu. Unsur
ini menjadikan ayat bahasa Melayu pelbagai dan lebih menarik, selain
menimbulkan kesan keindahan. Unsur penyongsangan ayat juga merupakan satu sifat
bahasa Melayu jati dan harus kita fahami dan kuasai.
No comments:
Post a Comment