Sunday, January 26, 2014

Proses Peluasan


Proses Peluasan
Selain proses pengguguran dan proses penyusunan semula, ayat-ayat bahasa Melayu boleh juga diterbitkan melalui proses peluasan.  Yang dimaksudkan dengan proses peluasan ayat ialah penambahan unsur-unsur dalam ayat yang baharu. 
            Secara umumnya, terdapat empat jenis peluasan dalam ayat bahasa Melayu, iaitu:
            (i)         peluasan frasa nama sebagai subjek
            (ii)        peluasan frasa predikat
            (iii)       peluasan dengan kata hubung
            (iv)       peluasan melalui proses komplementasi
                                    11.4.3.1   Peluasan Frasa Nama sebagai Subjek
Peluasan frasa nama sebagai subjek dalam ayat melibatkan proses relativisasi, iaitu proses pemacangan ayat ke dalam satu ayat yang lain sebagai frasa relatif kepada subjek ayat yang menerima pancangan.  Frasa relatif terbentuk melalui penggunaan kata relatif yang.  Perhatikan contoh yang berikut:

(63)     Bayi itu anak Puan Erin.
            Bayi itu minum susu.
Bayi yang minum susu itu anak Puan Erin.
Proses peluasan bagi ayat (63) adalah seperti dalam rajah pohon di bawah:




Contoh-contoh lain:

(64)     Banglo itu kepunyaan Haji Baharom.
            Banglo itu baharu.
 Banglo yang baharu itu kepunyaan Haji Baharom.
(65)     Pemuda itu belum berkahwin.
            Pemuda itu berkelulusan tinggi.
 Pemuda yang berkelulusan tinggi itu belum berkahwin.

(66)     Bapa saudara saya sudah sembuh.
            Bapa saudara saya sakit.
 Bapa saudara saya yang sakit sudah sembuh.

11.4.3.2   Peluasan Frasa Predikat
Sama seperti proses peluasan yang melibatkan bahagian subjek, proses peluasan yang melibatkan bahagian predikat juga memerlukan frasa nama yang hendak direlativisasikan berfungsi sebagai subjek dalam ayat yang hendak dipancangkan.  Perhatikan contoh yang berikut:
(67)     Zaid menemani budak itu.
            Budak itu keseorangan.
(relativisasi)             Zaid menemani budak yang keseorang itu.

Perhatikan proses peluasan ayat (67) melalui rajah pohon di bawah:


Contoh-contoh lain:
(68)     Regina mencium bunga iu.
            Bunga itu harum
(relativisasi)             Regina mencium bunga yang harum itu.
(69)     Pak Samad mengarang novel itu.
            Novel itu tebal.
(relativisasi)             Pak Samad mengarang novel yang tebal itu.
(70)     Dia membelai kucing itu.
            Kucing itu comel.
(relativisasi)             Dia membelai kucing yang comel itu.

                                    11.4.3.3   Peluasan dengan Kata Hubung
Proses peluasan ayat boleh juga berlaku melalui proses penggabungan ayat dengan menggunakan kata-kata hubung seperti dan, tetapi, kerana, jika dan lain-lain.  Setiap kata hubung itu boleh digunakan untuk menggabungkan dua ayat atau lebih bagi menghasilkan ayat terbitan.  Perhatikan contoh-contoh yang berikut:

(71)     Ibu pergi ke pasar.
            Puan Saemah pergi ke pasar.
           Ibu dan Puan Saemah pergi ke pasar.

(72)     Pak Jamal kaya.
            Pak Jamal tidak kedekut.
           Pak Jamal kaya tetapi tidak kedekut.
(73)     Hari hujan.
            Dia tetap pergi ke sekolah.
           Walaupun hari hujan, dia tetap pergi ke sekolah.

                                    11.4.3.4   Peluasan melalui Proses Komplementasi
Proses peluasan ayat boleh juga berlaku melalui proses komplementasi.  Proses komplementasi menukarkan sesuatu ayat menjadi satu frasa nama dan memancangkannya pada suatu ayat yang lain bagi menghasilkan ayat terbitan yang baharu.  Perhatikan contoh-contoh yang berikut:
(74)     Dia memberitahu sesuatu.
            Dia akan ke luar negara.
            Dia memberitahu bahawa dia akan ke luar negara.

            Dalam ayat (74) di atas, ayat Dia akan ke luar negara  berubah fungsi menjadi frasa nama dan dipancangkan kepada binaan Dia memberitahu sesuatu ... Kata hubung komplemen bahawadisisipkan sebagai tanda berlakuny proses komplementasi.  Proses peluasan ayat sebegini boleh diperhatikan dalam rajah pohon yang berikut:

Contoh-contoh lain:
(75)     Dia menafikan (sesuatu).
            Adiknya terlibat dalam kejadian itu.
            Dia menafikan bahawa adiknya terlibat dalam kejadian itu.
(76)     Pengacara itu mengumumkan (sesuatu).
            Pertandingan itu terpaksa dibatalkan.
Pengacara itu mengumumkan bahawa pertandingan itu terpaksa dibatalkan.

            Selain peluasan pada frasa nama dalam ayat, proses peluasan boleh juga berlaku pada frasa kerja.  Sebagai contoh, perhatikan ayat-ayat yang berikut:
(77)     Mereka datang membawa buah tangan.
(78)     Dia berdiri menghadap ke luar tingkap.
(79)     Mereka pergi membeli-belah.
(80)     Gadis itu duduk menjahit sejak pagi tadi.

Ayat-ayat di atas mengikut huraian tatabahasa transformasi generatif boleh dihuraikan mengikut rajah pohon yang berikut:


Transformasi komplemen frasa kerja hanya boleh dilakukan jika terdapat kesamaan identiti pada kedua-dua frasa nama yang menjadi subjek dalam ayat induk dan ayat yang dipancangkan. 
Proses ini dapat diterangkan dalam rajah pohon di bawah.