Saturday, February 8, 2014

TOPIK 2


TAJUK 2

SINTAKSIS : BIDANG KAJIAN

URUTAN KATA
                        Setiap bahasa mempunyai hukum atau rumus yang menjadi dasar kepada proses urutan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat.Terdapat beberapa bentuk urutan kata dalam membina ayat. Antaranya ialah:
i)  subjek + kata kerja + objek.
    Contoh ayat :   Ali                 membaca         buku.
                          ( subjek   +   kata kerja    +   objek )         

ii)  subjek + objek + kata kerja
     Contoh ayat :  Bahasa Turki
                             Kamal          bavulu          acti
                            ( subjek    +   objek    +     kata kerja )
                            Kamal            beg baju      buka
                            “ Kamal membuka beg baju. “   

iii)  kata kerja + objek + subjek
      Contoh ayat : Bahasa Malagasi
                               Nividy        ny   vavy  ny          vehivary
                              ( kata kerja   +   objek   +      subjek )
                              beli                 itu beras       itu perempuan
                             “ Perempuan itu membeli beras “




iv)  objek + kata kerja + subjek
      Contoh ayat : Bahasa Hixkaryana
                               Toto            yahosiye          kamara
                               ( objek   +    kata kerja   +    subjek )
                               lelaki           terkam dia         jaguar
                            “ Jaguar menerkam lelaki itu “

v) kata kerja + subjek + objek
     Contoh ayat :  Bahasa Arab
                              kataba              Ahmadu         risala-tan
                              ( Kata kerja   +   subjek   +    objek )
                              tulis                   Ahmad          surat
                             “ Ahmad telah menulis surat.”

                        Walaubagaimanapun , urutan jenis ( i ) dan ( ii ) paling banyak digunakan. Sehingga kini masih belum terdapat bahasa yang mempunyai urutan kata objek + subjek + kata kerja.

PERPINDAHAN KATA
                        Kedudukan sesuatu atau kelompok perkataan berubah tempat dalam sesuatu binaan juga memperlihatkan ciri perbezaan. Bahasa Latin misalnya, mempunyai aturan kedudukan perkataan yang amat bebas. dalam contoh ketiga-tiga ayat berikut, ia membawa pengertian yang sama, iaitu “Paul melihat Mary” walaupun mempunyai kata yang berbeza.





a) Paulus Mariam vidit
    Paul      Mary     lihat
    “Paul melihat Mary”
b) Paulus vidit Mariam
c) Vidit Paulus Mariam.

                        Dalam hubungan ini, akhiran -us dan -am menentukan kata nama subjek dan kata nama objek. Pengertian ayat tersebut tidak terjejas walau di manapun kedudukan kata kerjanya.

                        Sebaliknya dalam Bahasa Melayu, ayat “Paul melihat Mary” hanya boleh berubah menjadi “Melihat Mary,Paul” tanpa mengubah ertinya. Jika diubah menjadi “Mary melihat Paul” atau “Melihat Paul, Mary”, maka maksud ayat tersebut akan berubah. Ayat “Paul Mary melihat” tidak mgramatis dalam Bahasa Melayu.


RAGAM AYAT
                        Dalam bidang sintaksis, kejadian ayat pasif dan ayat aktif tergolong dalam huraian ragam ayat. Ayat aktif mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul.
Contoh ayat:  Ali            membaca buku itu.
                        subjek              objek

                        Ayat pasif pula mengutamakan subjek terbitan sebagai judul.
Contoh ayat :  Buku itu dibaca oleh Ali.


                        Bagi bahasa-bahasa seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, hubungan antara ayat aktif dan ayat pasif, umumnya melibatkan perpindahan tempat frasa nama yang menjadi subjek dan objek ayat berkenaan.

JENIS AYAT
                        Dalam kebanyakan bahasa, termasuk Bahasa Melayu, jenis-jenis ayat umumnya dapat dibahagikan kepada empat, bergantung pada lagu bahasa atau intonasi dan juga tujuannya.Empat jenis ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

AYAT PENYATA
                        Ayat penyata digunakan bagi menyatakan maklumat. Ia diucapkan untuk tujuan melakukan sesuatu penyataan atau mengemukakan keterangan tentang sesuatu perkara. Oleh itu, ayat penyata selalu juga disebut sebagai ayat keterangan. Contoh ayat penyata:
a) Bapa saya wartawan di Utusan Melayu.
b) Rohani ketawa.
c) Mereka meninggalkan kota raya itu semalam.


AYAT TANYA
                        Ayat Tanya digunakan bagi menanyakan sesuatu perkara. Ayat Tanya boleh digolongkan kepada dua jenis sama ada ia menggunakan kata Tanya atau tidak.
1. Tanya dengan unsur tanya.
    Lazimnya ayat tanya menggunakan unsur tanya. Ada tiga unsur tanya  iaitu partikel
    tanya, kata tanya dan frasa sendi tanya. Oleh itu, ada tiga jenis ayat tanya dengan
    unsur tanya.

    a)  Ayat tanya dengan partikel tanya.
         Ada satu sahaja partikel tanya iaitu -kah. Apabila kita menggunakan -kah,
         lazimnya kata tanya tidak digunakan. Partikel -kah diletakkan pada hujung
         perkataan yang hendak ditekankan dalam pertanyaan tersebut. Contoh:
          i) Halimkah yang datang?
         ii) Kamukah yang ketawa?

     b) Ayat tanya dengan kata tanya.
         Ayat tanya dengan kata tanya menggunakan kata tanya seperti berapa, kenapa,
         mengapa, siapa, mana, bagaimana dan bila. kata tanya digunakan di pangkal
         ayat. Tanda tanya ( ? ) diletakkan pada akhir ayat.
           i) Kata tanya apa digunakan bagi menanyakan sesuatu benda atau hal. Contoh:
              Apa yang akan kita katakana pada ayah nanti?
              Apa pokok perbincangan kita?

         ii) Kata tanya berapa digunakan bagi menanyakan bilangan dan jumlah. Contoh:
             Berapa jumlah pelajar dalam kursus bahasa?
             Berapa ekor lintah kau kutip tadi?

        iii) Kata tanya kenapa digunakan bagi menanyakan sebab sesuatu keadaan jadi
             begitu. Contoh:
             Kenapa mereka lambat sampai?
             Kenapa bulan tidak kelihatan?

        iv) Kata tanya mengapa digunakan bagi menanyakan sebab sesuatu dilakukan.
             Contoh:
             Mengapa mereka tergesa-gesa datang?
             Mengapa harga minyak petrol naik?

         v) Kata tanya siapa digunakan bagi menanyakan orang yang menjadi pelaku atau
             pokok perbincangan. Contoh:
             Siapa yang menjual tanah pusaka ini?
             Siapakah yang lebih berkuasa dalam hal ini?

         vi) Kata tanya mana digunakan bagi menanyakan sesuatu benda tertentu atau
              tempat. Contoh:
              Rumah mana yang hendak disewakan?
              Petak mana hendak dimulakan?

        vii) Kata tanya bagaimana digunakan bagi menanyakan cara. Contoh:
              Bagaimana kita hendak pergi ke sana?
              Bagaimana dia naik ke rumah kita?

       viii) Kata tanya bila digunakan bagi menanyakan masa. Contoh:
              Bila Melaka diserang oleh Portugis?
              Bila mereka berkahwin?


c) Ayat tanya yang menggunakan frasa sendi
    Kata tanya dapat digunakan dengan kata sendi bagi menghasilkan frasa tanya 
    seperti di mana, dari mana, ke mana,, pada siapa, sejak bila, dengan siapa, untuk
    siapa dan sebagainya. Dalam bentuk lisan, ayat tanya seperti ini perlu diakhiri
    dengan intonasi menaik pada akhir ayat. Contohnya:
     Benda itu datang dari mana?
     Pakaian baru ini untuk siapa?

                        Frasa tanya boleh juga diletakkan di pangkal ayat. Frasa sendi tanya yang
     diletakkan  di pangkal ayat selalunya ditambah dengan partikel -kah. Contohnya:
    Untuk siapakah pakaian baru ini?
    Di manakah awak bersekolah?

2. Ayat tanya tanpa unsur kata tanya.
    Dalam tulisan, ayat tanya diakhiri dengan tanda soal ( ? ) yang bermaksud ayat
    tersebut hendaklah diucapkan dengan intonasi menaik pada akhir ayat. Contohnya:
    Semalam budak itu pergi ke sekolah?
    Mereka pergi semalam?

    Ayat tanya boleh juga disertai dengan partikel -kah yang diletak pada bahagian yang    
    menjadi fokus ayat. Contohnya:
    Semalam budak itu ke  sekolahkah?
    Mereka pergi semalamkah?


                         Fokus ayat boleh juga dilakukan dengan meletakkan bahagian ayat yang hendak difokuskan itu di depan, iaitu melalui proses pendepanan predikat. Contohnya:
    Ke sekolahkah budak itu semalam?
    Semalamkah mereka pergi?

AYAT PERINTAH
                        Ayat perintah adalah ayat yang digunakan bagi memberi arahan. Arahan bertujuan menghasilkan tindakan. Kata nama atau ganti nama seperti kamu, awak, engkau dan sebagainya digunakan bagi menentukan orang atau pelaku yang diminta melakukan perkara yang diarahkan. Apabila arahan diucapkan dalam konteks yang jelas,  kata nama atau ganti nama digugurkan.

                        Ayat perintah dapat diucapkan sama ada dalam bentuk suruhan, larangan, silaan atau permintaan, bergantung pada jenis perkataan ( perintah ) yang digunakan. Contohnya:
a) Siapkan kerja itu dengan segera. ( suruhan )
b) Jangan berludah di sini. ( larangan )
c) Sila buat laporan dib alai polis. ( silaan )
d) Tolong tutup pintu itu. ( permintaan )


AYAT SERUAN
                        Ayat seruan menyatakan perasaan seperti takut, marah, benci, hairan, geram dan sebagainya. Intonasi seruan ditandakan dengan lambing seru ( ! ). Lambang seru biasanya terletak pada akhir ayat. Kata seru yang biasa digunakan ialah amboi, aduhai, ah, cis, heh, hai,  hoi, laa, oh, wah dan sebagainya. Contohnya:
a) Amboi, bergayanya dia !
b) Aduhai, sampai bila kita akan sengsara begini !
c) Cis, berani kamu mengganggu dia!
d) Heh, Encik Johari, bangunlah !
e) Oh, Tuhanku!

                        Ada juga ayat seruan yang tidak menggunakan kata seru. Ayat seru tersebut hanya menggunakan intonasi ayat seru. Ini berlaku istimewanya pada ayat yeng menunjukkan marah, hairan, terperanjat dan lain-lain. Tanda seru diletakkan selepas perkataan atau frasa yang menunjukkan emosi berkenaan, sama ada marah, suka, terperanjat dan sebagainya. Contohnya:
a) Kepala otak engkau! Bukan itu yang aku suruh.
b) Nasib badan! Bukan salah ibu mengandung.
   
SINTAKSIS DAN ASPEK TATABAHASA YANG LAIN
                        Terdapat ciri-ciri lain yang harus diberikan perhatian dan pertimbangan dalam pembinaan ayat. Ciri-ciri lain yang dimaksudkan ini sering dinyatakan dalam bidang sintaksis sebagai penanda tatabahasa. Antara penanda tatabahasa yang sering terdapat dalam pembinaan ayat termasuklah penanda kasus, kala dan unsur keserasian.Dalam Bahasa Melayu tidak terdapat penanda kasus sebagaimana yang berlaku pada Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Rusia dan Bahasa Turki.


                        Satu lagi penanda tatabahasa yang sering terdapat  dalam proses pembentukan ayat dalam beberapa bahasa ialah penanda kala, iaitu penanda atau perubahan yang terjadi pada bentuk kata kerja sebagai menentukan kala atau waktu kejadian, sama ada akan, sedang, atau sudah berlaku.

                        Unsur keserasian juga menjadi salah satu ciri penanda tatabahasa dalam pembentukan ayat sesetengah bahasa. Dalam Bahasa Inggeris dan Arab, misalnya unsur keserasian antara kata nama subjek dengan kata kerja adalah penting, oleh sebab tanpa mempertahankan keserasian, ayat yang terbentuk tidak akan menjadi gramatis.
                       















No comments:

Post a Comment