Friday, May 16, 2014

TOPIK 10

Tajuk 10 - Ayat Bahasa Melayu
Ayat Bahasa Melayu

Ayat  dalam bahasa Melayu boleh terbentuk daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Nik Safiah Karim et.al. 2008).
Ayat  terdiri daripada binaan klausa, frasa ,dan perkataan.
Kajian tentang ayat membuktikan bahawa  kepentingan klausa, frasa dan perkataan mempunyai  fungsi yang utama dalam pembentukan ayat.
Selain itu, ayat dasar atau ayat inti merupakan ayat yang terdiri daripada ayat penyata. Ini berbeza dengan ayat tunggal yang terdiri daripada ayat tanya, perintah dan seruan dan sebagainya.

 Dalam perbincangan ini, kita akan melihat pola-pola ayat dasar, ayat tunggal dan tidak ketinggalan unsur  yang berkaitan dengan susunan klausa, frasa, dan perkataan  dalam ayat .

Ayat
Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya  dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Nik Safiah Karim et.al. 2008). Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), ayat terdiri daripada perkataaan-perkataan yang disusun dalam susunan dan kelompok-kelompok tertentu. Setiap kelompok perkataan disusun dengan lengkap. Susunan yang lengkap mempunyai makna yang lengkap. Setiap satu kelompok tersebut mengandungi sekurang-kurangnya dua bahagian iaitu subjek dan predikat. Subjek menyebut sesuatu perkara, seperti rumah, baju, kereta dan seumpamanya. Predikat pula menerangkan tentang perkara yang telah disebutkan dalam predikat iaitu menerangkan tentang rumah, baju,  kereta dan seumpamanya.
Contoh :
(1). Sekolah  di tepi laut.
Dalam ayat (1) sekolah terdiri daripada kelompok perkataan yang menjadi pokok perbincangan. Malah sebenarnya, sekolah ialah komponen subjek  ayat. Dalam kumpulan perkataan kedua, di tepi laut,menceritakan tentang subjek ayat.Maksud ayat tersebut ialah hal sebuah sekolah yang  terletak di tepi laut.      
(2) Rumah  langsir biru.
Dalam ayat (2) rumah  ialah kelompok perkataan yang menjadi subjek dalam ayat tersebut. Sementara, langsir biru yang tergolong dalam kelompok kedua ialah predikat bagi ayat tersebut yang menerangkan tentang keadaan rumah besar tersebut.

    Klausa
Klausa ialah satu rangkaian perkataaan yang mengandungi subjek dan predikat , yang menjadi konstituen dalam ayat. (Nik Safiah Karim et.al. 2008) Klausa tergolong kepada dua jenis iaitu:
(i) Klausa bebas
(ii) Klausa tak bebas
Klausa bebas ialah klausa yang terdiri daripada sekumpulan perkataan yang maknanya boleh berdiri sendiri dan boleh bersifat sebagai ayat lengkap apabila diujarkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa boleh diumpamakan ayat dalam ayat (Abdullah Hassan et.al 2006).
Contoh :
klausa 1 : Majid kaya (klausa bebas) 
klausa 2 : kerana cekap menguruskan perniagaan (klausa tak bebas)

Ayat sempurna:
klausa 1 + klausa 2 = Majid kaya kerana cekap menguruskan perniagaan.
Klausa  bebas juga disebut sebagai klausa utama.
Berdasarkan contoh :
Majid kaya            kerana cekap menguruskan perniagaan.
[klausa bebas]     [ klausa tak bebas]
[klausa utama]
Oleh itu, pembentukan klausa bebas adalah berdasarkan ciri klausa yang mampu mendokong makna lengkap serta mendokong ciri –ciri ayat yang sempurna.

 

  Frasa
            Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. (Nik Safiah karim, et.al 2008)  Frasa nama boleh terbentuk daripada satu perkataan atau lebih (Abdullah Hassan et.al, (2006). Frasa ialah unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam struktur binaan ayat, frasa didapati  merupakan unsur yang terletak di bawah klausa.
Contoh ayat : sehelai baju kurung di dalam almari. Ayat ini akan dipenggal sebahagiannya untuk melihat rumus struktur frasa.

Frasa
baju
sehelai baju
baju kurung
sehelai  baju kurung

Frasa di atas berasaskan satu binaan ayat  (FN+FS) :Sehelai baju kurung di dalam almari. Bentuk frasa satu perkataan ialah baju. Bentuk tersebut diperluas menjadi sehelai baju, baju kurung, sehelai  baju kurung, dan sebagainya.
Jadi, frasa yang asas iaitu baju kurung telah diperluaskan melalui pancangan ke dalam sebuah frasa yang lain  hingga terbentuknya frasa sehelai baju kurung.

 Perkataan
            Perkataan ialah konstituen kepada frasa. Perkataan adalah bentuk bahasa yang mengandungi makna atau fungsi nahu (Abdullah Hassan et.al , 2008)
Bentuk-bentuk perkataan seperti sekolah, baju, orang, kereta adalah perkataan yang mendokong makna tertentu.  Perkataan mempunyai beberapa golongan tertentu seperti kata  nama, kata kerja,   kata adjektif, kata sendi nama, kata hubung, kata tugas dan sebagainya.
Contoh:

kata nama: pelajar,  ayah, Seremban, taman
kata kerja : makan, tidur, melukis, menendang
Kata adjektif : kurus, pucat, gempal, tampan
kata sendi nama : di rumah, ke kedai, dari Johor, daripada besi

 Ayat Dasar
Ayat dasar ialah ayat yang menjadi sumber atau dasar bagi pembentukan ayat-ayat lain berdasarkan rumus-rumus tatabahasa. Semua ayat yang terbina secara lengkap sebenarnya dapat dikesan dasar atau inti ayat yang menjadi landasan dalam sesuatu binaan ayat.
Ayat dasar mempunyai empat  pola asas iaitu:
Pola 1 : FN + FN
Pola 2 : FN + FK
Pola 3 : FN + FA
Pola 4 : FN + FS

Pola
Subjek
Predikat
Pola 1 (FN + FN)
Harun
pesilat amatur.
Pola 2 (FN + FK)
Jurulatih
sedang berehat.
Pola 3  (FN + FA)
Marlina
sungguh pandai
Pola 4 ( FN + FS)
Muzium
di Pusat Islam.

Komponen frasa boleh mengandungi satu perkataan atau lebih. Namun, binaan-binaan tersebut harus masih tergolong dalam bentuk frasa.



Contoh:

Pola
Subjek
Predikat
Pola 1 (FN + FN)
Harun
pesilat amatur negara.
Pola 2 (FN + FK)
Jurulatih
sedang berehat di bilik
Pola 3  (FN + FA)
Adik Marlina
sungguh pandai
Pola 4 ( FN + FS)
Muzium warisan
di Pusat Islam Kuala Lumpur.


  Ayat Tunggal
            Ayat tunggal ialah ayat yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Ayat tunggal juga sebenarnya mempunyai satu klausa yang hadir mewakili satu subjek dan satu predikat tersebut. Ayat tunggal terbina daripada ayat dasar. Malah binaan ayat tunggal mempunyai persamaan dengan ayat dasar. Namun, yang membezakan ayat tunggal dengan ayat dasar ialah ayat tunggal terdiri daripada ayat tanya, ayat perintah ayat seruan dan sebagainya. Sementara, ayat dasar  terdiri daripada ayat penyata.
Jelas bahawa ayat tunggal terbina secara mudah dengan hanya mempunyai konstituen satu subjek dan satu predikat.
Contoh:
Subjek
Predikat
(1).      Bapa saudara Ali
(2)      Peninju itu
(3)      Darwis
(4)      Wahab
pensyarah.
sangat tangkas.
membaca kitab jawi.
ke kedai runcit.
 Dalam proses binaan ayat tunggal ini , terdapat juga proses penyongsangan seperti predikat mendahului subjek seperti dalam ayat songsang.
Contoh:

(5) (a)  Mariam  ke pasar raya hari ini.
      (b)  Ke pasar raya Mariam  hari ini.
(6) (a)  Baju itu di dalam almari.
      (b)  Di dalam almari baju itu.
(7) (a)  Kuih itu dimakannya.
      (b)  Dimakannya kuih itu.
(8) (a)  Pokok kayu itu ditebangnya
       (b) Ditebangnya pokok kayu itu. 


No comments:

Post a Comment