Saturday, April 26, 2014

TOPIK 6



FRASA KERJA BAHASA MELAYU

Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Aspek

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) Frasa kerja terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa kerja yang melibatkan kata bantu aspek merupakan keperihalan tentang aspek masa lampau, ini atau masa hadapan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek.

Bagi menjelaskan fungsi kata bantu dalam frasa, diberikan contoh ayat berkaitan.
Contoh (fungsi menunjukkan masa  yang telah berlaku: sudah , telah ,pernah)

  (1). Amirul sudah mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang lepas.
  (2). Dia telah  menulis puisi sejak di bangku sekolah.
  (3). Michael pernah mendapat pengiktirafan sebagai guru cemerlang.
 -Contoh (fungsi menunjukkan perbuatan yang belum dilakukan: akan dan belum)
  (4). Wan Malini akan memetik bunga di taman.
  (5). Adi Kencana belum lagi berminat untuk merantau ke kota.


Kata Bantu
Kata Bantu Aspek
Kata Bantu Ragam
Memerihalkan masa lampau, kini, atau masa hadapan.
Contoh :
telah, sudah, sedang, masih, akan, belum
Memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.
Contoh:
hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dan dapat

Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Ragam
       Frasa kerja yang melibatkan kata bantu ragam merupakan keperihalan tentang aspek perasaan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek yang memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.

Contoh ayat:
Dia hendak bekerja di  Kuala Lumpur.
Maslina mahu membuktikan bahawa dia juga mampu menjadi juara.
Dia harus pulang ke kampung segera.
Anda mesti belajar untuk menguasai kemahiran mengajar.
Yatim boleh berjaya jika dia berusaha bersungguh-sungguh.
Daud dapat menyertai program sukan berkuda di Johor Bahru. 

Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen
           
      Frasa kerja dengan ayat komplemen  merupakan jenis frasa yang boleh menerima pelengkap atau sebaliknya yang dipancangkan ke dalam klausa utama bagi binaan sesuatu ayat. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), frasa kerja sama ada jenis transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Dalam binaan predikat, frasa kerja jenis ini  ditandai  dengan penggunaan kata kata hubung bahawa, demi, supaya, semoga dan untuk. Apabila keadaan sedemikian berlaku, maka ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk

Contoh :
(i)  Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen
Cikgu Normah  menegaskan bahawa tidur yang berkualiti  adalah perlu untuk kesihatan minda.
Pak Mat mengakui bahawa dia pernah  berkhidmat dalam pasukan komando.
Pemandu bas itu  memaklumkan bahawa semua penumpang selamat sampai ke destinasi.

Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja tersebut menerima ayat komplemen yang akhirnya membentuk ayat majmuk.

(ii) Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen
Haji Amin percaya bahawa  mangsa kebakaran itu boleh diselamatkan.
Kim Seng faham bahawa jirannya terpaksa berpindah ke kampung.
Jasmin berpendapat bahawa kerjaya guru sangat  mencabar.

Dalam ayat di atas, frasa  kerja tak transitif telah menerima  ayat komplemen. Biarpun begitu, ayat ini masih mengekalkan konsep kata kerja tak transitif dan akhirnya membentuk ayat majmuk.

Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja

      Unsur keterangan dalam frasa kerja  diwakili oleh unsur-unsur penerang yang memerihalkan atau menerangkan kata kerja tersebut dengan lebih lanjut. Unsur –unsur biasanya hadir selepas kata kerja. Bagi kata kerja transitif, unsur keterangan hadir selepas objek (penyambut). Unsur-unsur keterangan boleh terdiri daripada binaan frasa sendi nama, frasa adjektif, dan frasa nama. Yang pasti, unsur keterangan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang maksud dan sasaran makna dalam sesuatu frasa yang menjadi struktur binaan dalam satu-satu frasa.

Berdasarkan  aspek makna yang hadir dalam frasa kerja, unsur keterangan dapat dibahagikan kepada lapan jenis:
(i) Keterangan tempat atau arah
(ii) Keterangan waktu
(iii) Keterangan cara
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
(v) Keterangan alat
(vi) Keterangan penyertaan
(vii) Keterangan hal
(viii) Keterangan bagai

Huraian:
(i) Keterangan tempat atau arah
Unsur keterangan tempat atau arah membincangkan tempat berlakunya peristiwa. Penggunaan kata sendi  nama di,ke,dari,daripada,kepada ,pada jelas terdapat dalam unsur keterangan ini.

Contoh:
Dia belajar di universiti.
Abang Malik memanjat ke atas bumbung rumah.
Swee Ling berasal dari Negeri Sembilan.
Emak Shafik menerima hadiah cenderamata daripada guru besar.  

(ii) Keterangan waktu
 Dua bentuk keterangan waktu wujud dalam frasa kerja iaitu
·         bentuk frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama iaitu pada, dalam , sejak dan hingga
·         bentuk frasa nama seperti semalam, tahun lepas, 
Contoh :
Pensyarah itu menamatkan kuliah pada jam 9 malam.
Pameran  kesenian  itu bermula sejak semalam.
Aiman menunggu kepulangan ayahnya hingga pukul 12 malam.

(iii) Keterangan cara
·         Keterangan cara boleh bersumberkan daripada kata adjektif.
·         Keterangan cara boleh terbina daripada frasa sendi nama yang mengandungi   kata sendi nama dengan diikuti kata adjektif yang menerima kata pembenda –nya.
Contoh :
Air sungai mengalir deras.
(a)   Air sungai mengalir dengan derasnya.
Azman berlari  pantas.
(a)   Azman berlari dengan pantasnya.
Menteri berjalan megah.
(a)   Menteri berjalan dengan megahnya.

(iv) Keterangan tujuan atau harapan
  • Keterangan tujuan atau harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian.
  • Keterangan tujuan menggunakan kata sendi nama : demiuntuk dan bagi
Contoh :
Muhamad belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
Mereka berkahwin untuk mencapai kebahagiaan hidup.
Penghulu berucap di perhimpunan itu bagi menjelaskan isu sebenar.


(v) Keterangan alat
  • Unsur yang menerangkan peralatan, perkakas atau benda yang digunakan dalam sesuatu proses atau peristiwa. Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
Guru pelatih itu datang dengan menaiki kereta api
Encik Ahmad memotong kek dengan pisau.
Harjit Singh memukul  bola dengan kayu hoki.

(vi) Keterangan penyertaan
  • Unsur yang menerangkan maksud ikut serta, ikut bersama-sama atau melibatkan diri.
  • Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
Aminah datang ke masjid dengan suaminya.
Pegawai kebajikan  melawat kampung contoh dengan ahli jawatankuasa surau.
Muniandy masuk ke pejabat dengan pembantunya.  

(vii) Keterangan  hal
  • keterangan hal berfungsi menerangkan keadaan
  • kata sendi nama yang digunakan ialah tentang, mengenai, terhadap.
Contoh:
Tuan pengurus  sedang memikirkan tentang masalah itu.
Panel disiplin membuat teguran terhadap kes itu.
Jurutera perunding membuat penilaian semula tentang projek tersebut.

(viii) Keterangan bagai
  • Unsur yang menerangkan keserupaan,kesamaan atau hampir sama.
  • Kata sendi nama yang digunakan ialah seperti, bagai, sebagai, bak.
Contoh :
Amran berlagak seperti pegawai  tinggi .
Kepantasan  lelaki  itu bertindak bagai lipas kudung .
Diana berlakon sebagai Puteri Gunung Ledang.
Hidungnya mancung bak seludang.

 Kesimpulan
     Frasa kerja merupakan satu bentuk frasa yang kompleks dan mampu menerima unsur-unsur perkataan yang menjadi struktur asas dalam binaan predikatnya.  


Hal yang demikian bergantung kepada situasi dan rumus yang menjadi dasar dalam pembentukan frasa yang akhirnya menghasilkan satu ayat yang lengkap. 

Saturday, February 8, 2014

TOPIK 5

TAJUK 5

FRASA KERJA BAHASA MELAYU

BINAAN FRASA KERJA
                        Binaan frasa kerja boleh dirumuskan sebagai terdiri daripada dua jenis, iaitu:
 i) Frasa kerja yang tidak mengandungi objek, yang kata kerjanya tidak perlu disambut
    oleh sesuatu frasa nama sebagai objek untuk melengkapkannya. Frasa kerja yang
    demikian mengandungi kata kerja tak transitif. Contohnya:
    a) Hang Jebat bertikam dengan hang Tuah
    b) Belukar itu terbakar perlahan-lahan.
    c) Ali menang.
    d) Mereka sedang tidur.
    e) Hujan turun dengan lebatnya.

                        Dalam ayat-ayat di atas, walaupun kata kerja tidak mempunyai frasa
    nama sebagai objek, namun unsur-unsur yang lain, iaitu kata bantu dan unsur
    keterangan boleh hadir bersama-samanya.

ii) Frasa kerja yang mengandungi objek, yang kata kerjanya mesti disambut oleh frasa
    nama sebagai objek untuk melengkapkan kata kerjanya. Frasa kerja yang demikian
    mengandungi kata kerja transitif. seterusnya, objek boleh juga diikuti oleh bahagian
    keterangan. Contohnya:




Subjek
Frasa Kerja
Kata Kerja
Objek
Keterangan
Budak itu
Pemburu
Kami
Anaknya
Dia
membaca
menembak
makan
menghidangkan
menjalankan
buku.
harimau itu
ayam goreng itu.
sedulang makanan.
tugasnya

dengan senapang


dengan baik

                        Dalam ayat-ayat di atas, kata kerja diikuti oleh frasa nama yang menjadi penyambut kepada kata kerja sebelumnya. Sebagaimana dengan kata kerja tanpa objek, unsur-unsur kata bantu dan keterangan boleh juga hadir dalam frasa kerja dengan objek.


BINAAN FRASA KERJA TANPA OBJEK
                        Frasa kerja yang tidak mengandungi frasa nama sebagai objek terdiri daripada satu jenis kata kerja sebagai intinya, yang disebut kata kerja tak transitif. Ia adalah sejenis kata kerja yang tidak perlu disambut oleh sebarang frasa nama sebagai objek untuk melengkapkannya.

                        Frasa nama sebagai objek boleh ditakrifkan sebagai unsur yang mengikuti kata kerja transitif dalam ayat aktif, dan ayat demikian boleh mengalami proses pasif.

                        Jika sesuatu ayat aktif tidak dapat dipasifkan, maka itu bererti kata kerja dalam ayat tersebut bukan kata kerja transitif dan, oleh itu tidak berobjek.


                        Ada tiga jenis kata kerja tak transitif, seperti yang berikut:
a) Kata kerja tak transitif yang tidak menerima unsur pelengkap.
b) Kata kerja tak transitif yang dapat menerima pelengkap sesudahnya.
c) Kata kerja tak transitif yang dapat diikuti oleh kata nama sebagai penerang.


KATA KERJA TAK TRANSITIF TANPA PELENGKAP.
                        Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dapat berlaku dengan sendirinya sebagai inti frasa kerja. Ia tidak memerlukan apa-apa unsur sebagai pelengkap.Contohnya:
Subjek
Predikat



Nota

Frasa Nama
Frasa Kerja
kata
kata kerja
Frasa
Adik
Cikgu
sedang
masih
makan
menulis
di atas meja
di papan putih
Maksud masih lengkap walaupun adverb digugurkan.



KATA KERJA TAK TRANSITIF DENGAN PELENGKAP.
                        Kata kerja tak transitif berpelengkap perlu berlaku dengan sebuah unsur lain yang melengkapkannya. Unsur ini adalah berbentuk perkataan. Perkataan ini dipanggil pelengkap. Tanpa pelengkap, frasa tersebut tidak dapat memberi maksud yang lengkap. Perkataan yang boleh menjadi pelengkap ini adalah kata nama, kata sifat, atau frasa sendi nama. Contohnya:

  
Subjek
Predikat



Nota

Frasa Nama
Frasa Kerja
Kata
Kata Kerja
Pelengkap
Frasa
Mereka


Ahmad

Saya


akan


ingin

mahu
beransur


menjadi

menetap
pulih


penyanyi

di Seremban
selepas mendapat
rawatan

sejak kecil lagi


Pelengkap
kata adjektif.

Pelengkap
kata nama

Pelengkap
frasa sendi
 nama

                        Jika pelengkap dalam ruangan pelengkap digugurkan, kata kerja tak transitif yang digunakan tidak lengkap dan sempurna maknanya.



KATA KERJA TAK TRANSITIF DENGAN KATA NAMA SEBAGAI PENERANG
                        Kata nama sebagai penerang yang mengikuti kata kerja tak transitif bukanlah objek kerana ayat yang mengandunginya tidak boleh dipasifkan. Kata nama persebut hanya menjadi penerang bagi kata kerja tak transitif dan bukan pelengkap kerana kata nama penerang boleh ditiadakan tanpa merosakkan kesempurnaan makna kata kerja demikian. Contohnya:

Subjek
Frasa Kerja
Kata Kerja
Penerang
Kanak-kanak itu
Mereka
lelaki itu
Keluarganya
Peladang itu
Kerjanya
Kegemarannya
Bapanya
Orang tua itu
berbaju
belajar
berseluar
berkedai
berkebun
bergunting
bermain
berniaga
berjaja
Melayu.
bahasa Jepun.
jean.
kopi.
kelapa.
rambut.
bola.
ayam.
kain.


BINAAN FRASA KERJA DENGAN OBJEK
                        Frasa kerja yang mengandungi frasa nama sebagai objek ialah yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya dan frasa nama yang mengikuti kata kerja itu sebagai objek atau penyambutnya. Kata kerja transitif dapat dipasifkan.
                        Lazimnya kata kerja transitif adalah dalam bentuk tunggal atau terbitan. Bentuk kata kerja transitif terbitan        dapat dikenalpasti dengan imbuhan transitif yang digunakan, iaitu per-, -kan, dan -i. Kata kerja transitif dalam bentuk tunggal agak sukar dikenal pasti, namun kebanyakannya menerima awalan aktif me-.
                        Oleh sebab itu, jelaslah bahawa kata kerja transitif memerlukan kata nama sebagai objek. Ada dua jenis kata kerja transitif iaitu:
a) Kata kerja transitif dengan satu objek
    Frasa kerja dengan satu objek adalah seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:
       i) Ketua pasukan terus menenangkan suasana itu.
      ii) Letupan bom itu mengacau-bilaukan keadaan.
     iii) Saya menjawab surat itu.
     iv) Mesin itu mengepam air.
      v) Dia tidak mengabaikan tugasnya.
     vi) Ubat itu dapat menyihatkan badan.
    vii) Penumpang it uterus menaiki kapal terbang.
   viii) Kami mendekati bangunan itu.
    ix) Perahu-perahu itu menyusuri pantai.
     x) Sebatang kayu melintangi jalan itu.

                        Terdapat sejumlah perkataan yang berbentuk kata kerja tetapi membawa makna adjektif. Perkataan ini boleh menerima kata penguat, dan frasa nama yang   mengikutinya boleh digugurkan. Contohnya:
      i) Tingkah laku pelawak itu sangat menggembirakan kanak-kanak di pesta itu.
     ii) Betulkah pemeriksaan ketat imigresen di negara itu menyulitkan awak?
    iii) Filem itu sungguh menyeramkan ( kami ).
    iv) Kejadian itu sangat menyedihkan ( kita ).
     v) keputusannya amat menggembirakan ( saya ).
    vi) Saya percaya peristiwa semalam amat menggembirakan ( saya ).
   

b) Kata kerja dengan dua objek
    Frasa kerja yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya boleh mengandungi
    dua frasa nama yang menjadi objek kepada kata kerja itu. Objek-objek ini
    mempunyai fungsi yang berbeza-beza dan boleh disebut sebagai objek tepat dan
    objek sipi. Objek tepat ialah objek yang menjadi penyambut secara langsung kepada
    kata kerjanya, sementara objek sipi ialah yang tidak menjadi penyambut secara
    langsung kepada kata kerjanya. Contohnya:
     i) Ahmad menghadiahkan buku kepada Ali.
    ii) Wanita itu membeli baju untuk anaknya.

     Ayat-ayat di atas boleh diubah menjadi ayat berikut:
      i) Ahmad menghadiahi Ali buku.
     ii) Wanita itu membelikan anaknya baju.

                          Apabila ayat-ayat tersebut dipasifkan, hanya frasa nama yang menjadi objek tepat akan mengalami penjudulan, iaitu menjadi subjek atau unsur yang diterangkan. Contohnya:
      i) Ali dihadiahi buku oleh ahmad.
     ii) Anaknya dibelikan baju oleh wanita itu.
                        Sebaliknya ayat-ayat pasif berikut, yang menjudulkan objek sipi, tidak dianggap gramatis:
a) * Buku dihadiahi Ali oleh Ahmad.
b) *Baju dibelikan anaknya oleh wanita itu.




                     Berikut ialah contoh-contoh ayat yang mengandungi frasa kerja dengan dua objek;
a) Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormatan.
b) Adiknya menghidangi kami sedulang kuih.
c) Dia mencarikan isterinya buah nangka.
d) Tuhan mengurniai makhluknya rahmat.
e) Ibu memasakkan tetamu makanan.

                        Ayat-ayat di atas jelas mengandungi binaan yang meletakkan objek tepat sesudah kata kerja dan objek sipi mengikuti objek tepat. Apabila ayat-ayat di atas diubah susunannya, iaitu objek tepat asal diletakkan di bahagian belakang ayat dengan didahului oleh kata sendi nama untuk atau kepada, dan menjadikannya frasa sendi nama, maka ayat-ayat yang terhasil akan hanya mengandungi  satu objek. Contohnya:
a) Baginda menganugerahkan bintang kehormatan kepada pahlawan itu.
b) Anaknya menghidangkan sedulang kuih untuk kami.
c) Dia mencari buah nangka untuk isterinya.
d) Tuhan mengurniakan rahmat kepada makhluknya.
e) Ibu memasakkan makanan untuk tetamu.

  
Ada juga frasa kerja yang seolah-olah mengandungi dua objek, seperti ayat-ayat yang berikut:
a) Dia menjadikan budak itu anak angkatnya.
b) Anak itu menyangka orang itu bapanya.
c) Sultan menamai tempat itu Melaka.
d) Dia menganggap saya lawannya.
e) Saya menamai kucing itu Si Belang.


                        Sebenarnya ayat-ayat di atas mengandungi hanya satu objek, iaitu frasa nama yang mengikuti kata kerja secara langsung. Perkataan angkatnya dan bapanya hanya berfungsi sebagai penerang kepada objek dan tidak boleh dijadikan objek tepat seperti dalam contoh yang berikut:
a) *Anak itu menyangka bapanya untuk orang itu.
b) *Dia menjadikan anak angkatnya bagi budak itu.
c) *Sultan menamakan Melaka untuk tempat itu.
d) *Dia menganggapkan lawannya kepada saya.
e) *Saya menamakan Si Belang untuk kucing itu.

                        
Untuk menjelaskan lagi ayat-ayat di atas, perkataan sebagai boleh diletakkan di hadapan unsur-unsur penerang itu. Contohnya:
a) Dia menjadikan budak itu sebagai anak angkatnya.
b) Anak itu menyangka orang itu sebagai bapanya.
c) Sultan menamai tempat itu sebagai Melaka.
d) Dia menganggap saya sebagai lawannya.

e) Saya menamai kucing itu sebagai Si Belang.